Ads Top

Suasana SENYAP Seketika Semasa Temuduga. Ok atau Tak?


Terdapat keadaan di mana semasa sesi temuduga apabila kita senyap seketika atau diam sejenak ketika perbualan berlangsung. Ini boleh dicetuskan oleh calon temuduga atau penemuduga itu sendiri.

Dalam kebanyakan kes, ia mungkin memberi tanda terdapat sesuatu yang tidak kena.

Calon Sebagai Punca Keadaan Senyap

Sekiranya anda adalah pencetus keadaan tersebut, calon boleh meminta masa untuk memikirkan jawapan dan pada masa ini besar kemungkinan keadaan akan menjadi benar-benar senyap. 

Secara umumnya, keadaan sebegini adalah normal dalam mana-mana sesi temuduga. Jika terdapat soalan yang sukar untuk dijawab, gunakan masa ini dengan bijak untuk memikirkan jawapan dan contoh terbaik yang boleh diberi. 

Penemuduga Sebagai Punca Keadaan Senyap

Ada masanya suasana senyap di sebabkan oleh penemuduga itu sendiri. Sekiranya penemuduga menulis nota (biasanya memang begitu), selesa dengan keadaan yang senyap untuk seketika antara soalan, ini sebenarnya adalah suatu perkara yang baik. Ini mungkin bermakna mereka suka dengan apa yang akan anda katakan dan akan digunakan apabila mereka membuat keputusan memilih siapakah yang paling layak. Jika keadaan senyap disebabkan oleh penemuduga, anda tidak perlu mengisi ruang kesenyapan ini dengan kata-kata yang tidak perlu. Biarkan mereka terus menulis dan tunggu soalan seterusnya. 

Jika anda telah menjawab soalan tetapi keadaan masih senyap, penemuduga pula tidak menulis apa-apa dan masih memandang anda, anda mungkin terlepas pandang apa jawapan yang dimahukan oleh penemuduga. Ini petanda bahawa penemuduga menjangkakan maklumat yang lebih banyak daripada calon dan mereka belum berpuas hati dengan jawapan yang diberi. 

Calon hanya akan tahu jika bertanya soalan, “adakah anda mahu saya menjelaskan hal ini dengan lebih terperinci?” Jika jawapannya ialah tidak, maka tunggulah dengan sabar soalan yang berikutnya. Jangan bimbang jika penemuduga tidak memuji setiap jawapan anda dan terus kepada soalan yang seterusnya. Mereka tidak mahu memberi calon petunjuk tentang prestasi semasa temuduga dan mereka dilatih untuk menjadi neutral semasa calon menjawab soalan.

Dalam mana-mana keadaan pun, sebagai orang yang diinterview, anda perlu tahu untuk mengenalpasti punca keadaan dan bagaimana untuk mengatasi keadaan senyap tersebut.

Powered by Blogger.