5 Sebab Kenapa Graduan Masih Menganggur
Graduan yang menganggur merupakan satu isu yang sentiasa dibincangkan pada masa kini. Graduan yang gagal mendapatkan sebarang pekerjaan selepas selesai tempoh pengajian merupakan suatu keadaan yang menjadi masalah utama dalam negara dan pihak-pihak yang berkaitan sentiasa berusaha untuk mencari penyelesaian yang terbaik bagi menangani isu ini.
Keadaan ini mungkin disebabkan oleh beberapa sebab utama yang menyumbang kepada peningkatan jumlah graduan yang menganggur dan gagal untuk mendapatkan pekerjaan.
Antara sebab utama kenapa graduan kini masih lagi menganggur adalah:
- Kurang penguasaan bahasa inggeris
- Sikap Graduan
- Memilih kerja
- Permintaan gaji
- Kurang Kemahiran
Kurang Penguasaan Bahasa Inggeris
Kurangnya penguasaan dalam bahasa Inggeris yang menjadi keperluan utama dalam sesuatu pekerjaan. Situasi ini mungkin disebabkan oleh kelemahan graduan itu sendiri yang tidak ingin mempelajari dan meningkatkan diri bagi menguasai bahasa Inggeris yang ternyata menjadi suatu kemestian bagi mendapatkan pekerjaan pada masa kini.
Meskipun bahasa Inggeris bukanlah bahasa utama dalam negara kita, namun untuk menjadi seorang pekerja yang mampu bersaing dan mempunyai kelebihan berbanding yang lain, adalah menjadi suatu kelebihan seandainya seseorang graduan itu mempunyai penguasaan bahasa Inggeris yang baik. Ini juga boleh membantu graduan untuk berkomunikasi dengan lebih baik, serta meningkatkan keyakinan diri mereka apabila berhadapan dengan majikan.
Sikap Graduan
Selain daripada itu, masalah graduan yang masih menganggur ini juga disebabkan oleh sikap seseorang graduan itu sendiri yang tidak mampu untuk memuaskan hati majikan untuk mengambil mereka bekerja dalam organisasi mereka. Sikap graduan ini termasuklah sikap yang ditunjukkan bermula daripada persediaan untuk menghadapi temuduga kerja sehinggalah semasa proses temuduga itu berlangsung.
Sikap graduan yang kurang bersedia dalam menghadapi temuduga dan bersikap sambil lewa adalah antara punca yang menjadi kegagalan mereka untuk mendapatkan pekerjaan yang dihajati. Selain itu, adab yang ditunjukkan semasa proses temuduga sedang dijalankan juga adalah penting dalam memenangi hati para majikan dan mendapatkan kepercayaan mereka untuk menjadi salah seorang pekerja dalam organisasi mereka.
Memilih Kerja
Di samping itu, kadar pengangguran di kalangan graduan ini juga boleh disebabkan oleh graduan yang sering memilih kerja yang kononnya bersesuaian dengan jiwa mereka. Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu pada masa kini, adalah agak sukar bagi seseorang graduan untuk mendapatkan pekerjaan yang benar-benar sesuai dan kena dengan apa yang mereka inginkan.
Persaingan di antara graduan juga adalah sengit dan mereka harus menunjukkan yang terbaik bagi mendapatkan pekerjaan yang menjadi idaman hati.
Permintaan Gaji
Permohonan terhadap gaji dan elaun yang tidak realistik juga merupakan antara punca peningkatan kadar pengangguran di kalangan graduan pada masa kini. Seandainya gaji yang diminta oleh para graduan tidak relevan, adalah sukar bagi majikan untuk mengambil mereka bekerja dalam sesebuah organisasi.
Sebagai graduan yang masih baru dan kurang dalam pengalaman kerja, adalah kurang sesuai bagi mereka untuk meletakkan gaji yang terlampau tinggi dan memohon pelbagai faedah serta elaun yang tidak setaraf dengan kemampuan yang mereka miliki. Keadaan ini boleh menyebabkan pihak majikan yang berpotensi menolak permohonan yang mereka inginkan dan sekaligus menyebabkan masalah pengangguran.
Kurang Kemahiran
Selain daripada permintaan terhadap gaji dan elaun yang tidak relevan, sebab lain yang menyebabkan lambakan graduan yang menganggur ialah kurangnya kemahiran-kemahiran seperti kemahiran untuk menyelesaikan masalah dan kemahiran interpersonal.
Semua kemahiran ini adalah penting dalam memastikan seseorang graduan itu mempunyai kelebihan berbanding graduan yang lain sekaligus membantu mereka untuk mendapatkan pekerjaan yang dikehendaki.
Kemahiran untuk menyelesaikan masalah sebagai contohnya, boleh membantu graduan yang bakal bekerja untuk berfikir secara kritis bagi menyelesaikan apa jua masalah yang bakal dihadapi dalam organisasi tempat kerja mereka.
Kemahiran interpersonal pula membantu para graduan yang baru melangkah ke alam pekerjaan untuk menyesuaikan diri dengan suasana yang baru dan sekaligus meningkatkan hubungan sosial mereka sesama rakan sekerja yang lain.