Cara Mengatasi Rasa Gugup Semasa Interview
Proses temuduga merupakan suatu proses biasa yang perlu dihadapi oleh seseorang yang mahu membuat permohonan untuk mendapatkan pekerjaan. Adakalanya proses temuduga ini boleh melibatkan beberapa peringkat mengikut kesesuaian dan kehendak dalam sesebuah organisasi.
Jenis temuduga yang dijalankan juga bergantung kepada apa yang diperlukan dalam sesebuah organisasi sama ada temuduga yang dilakukan secara lisan mahupun temuduga yang dijalankan secara bertulis.
Kadang kala ada juga temuduga yang memerlukan seseorang calon untuk melakukan pembentangan atau membuat model pengajaran sebagai salah satu komponen dalam proses temuduga tersebut. Walau apa jua jenis dan bentuk temuduga yang dijalankan, adalah sesuatu yang normal bagi seseorang calon untuk merasa gugup dan gementar dalam menghadapi proses temuduga tersebut.
Namun, adalah penting bagi seseorang calon temuduga untuk mengatasi rasa gugup, takut dan gementar yang mereka hadapi semasa proses temuduga berlangsung, bagi memastikan kelancaran temuduga berkenaan.
Persiapan Rapi
Apa yang paling penting bagi seseorang calon temuduga adalah untuk membuat persiapan dengan selengkapnya sebelum melalui proses temuduga itu. Persiapan yang lengkap ini meliputi pelbagai aspek bermula daripada pemakaian yang sesuai dan sopan, penguasaan bahasa yang jelas, penguasaan pengetahuan dalam bidang yang ingin diceburi serta sikap yang perlu ditunjukkan sewaktu temuduga sedang berlangsung.
Selain itu, persiapan ini juga melibatkan pengurusan masa di mana seseorang calon perlu memastikan mereka merancang perjalanan ke tempat temuduga diadakan untuk mengelakkan kelewatan serta pelbagai risiko yang lain.
Seseorang calon boleh merancang dengan menulis nota kecil bagi setiap jawapan yang bakal diberikan serta berlatih dengan secukupnya mengenai cara untuk berkomunikasi dengan para penemuduga. Selain itu, calon juga perlu menitikberatkan apakah nilai tambah yang mereka miliki yang boleh ditunjukkan di hadapan para penemuduga sewaktu proses temuduga tersebut.
Latihan Pernafasan
Seseorang calon temuduga juga perlu tahu bagaimana untuk mengawal diri mereka daripada perasaan gugup yang melampau dengan melakukan latihan pernafasan yang betul. Latihan pernafasan ini adalah penting bagi membekalkan oksigen yang secukupnya kepada seluruh sistem badan dan mengawal perasaan gemuruh yang dihadapi.
Bernafas dengan sebaiknya dan memejamkan mata sebentar bagi menenangkan fikiran sebelum melalui proses temuduga juga banyak membantu seseorang calon untuk mengatasi perasaan takut dan gugup. Sewaktu proses temuduga, rancang setiap jawapan yang ada dengan sebaiknya dan mulakan pertuturan dengan tenang tanpa terburu-buru.
Seseorang calon tidak perlu bercakap dalam nada yang terkejar-kejar sewaktu proses temuduga dan mereka boleh berhenti seketika untuk mengambil nafas ketika bercakap.
Ubah Perspektif
Selain itu, untuk mengatasi perasaan gugup sewaktu temuduga, seseorang calon juga perlu mengubah minda dan perspektif mereka terhadap keseluruhan proses temuduga tersebut. Ramai calon temuduga yang merasakan proses tersebut seolah-olah seperti proses soal siasat yang tidak berkesudahan. Apa yang paling penting adalah dengan bersikap positif dengan apa jua yang bakal berlaku sewaktu proses temuduga berkenaan.
Calon-calon temuduga boleh mengubah perspektif mereka dengan menganggap proses temuduga ini sebagai hanya satu perbualan santai yang biasa antara bakal majikan dengan bakal pekerja yang akan memasuki organisasi mereka. Dengan anggapan ini, ia dapat mengurangkan tekanan yang dihadapi dan mengubah perasaan gugup yang dialami oleh setiap calon temuduga.
Bersikap positif
Di samping itu, calon-calon temuduga juga perlu sentiasa mengekalkan keyakinan diri dan bersikap positif sebelum, sewaktu dan selepas proses temuduga dijalankan. Komunikasi bahasa badan yang positif seperti senyuman, berdiri tegak dan duduk dengan selesa juga boleh meningkatkan keyakinan diri dan sekaligus mengurangkan perasaan gementar yang dihadapi.
Selain itu, minda juga perlu diisi dengan nilai-nilai postif dengan kata-kata perangsang dan motivasi kepada diri sendiri di mana ini boleh membantu untuk mengurangkan tekanan sepanjang proses temuduga dan melancarkan proses perbualan bersama para penemuduga.
Doa
Selain daripada itu, seseorang yang akan mendhadiri temuduga perlulah memperbanyakkan doa kepada Tuhan supaya diberikan keyakinan dan ketenangan jiwa. Bacalah doa yang mudah dan berzikirlah sepanjang perjalanan ke tempat temuduga.
Akhir sekali, anda tidak perlu terlalu tertekan dan gugup hanya kerana menghadiri temuduga. Temuduga hanyalah cabaran kecil sebelum diterima kerja dan banyak lagi cabaran yang lebih berat yang mungkin akan anda hadapi apabila anda diterima bekerja.