Ads Top

5 Kesalahan Untuk Dielakkan Semasa Temuduga


Baru-baru ini, saya berbual dengan beberapa kenalan yang sedang cuba mendapatkan pekerja bagi kekosongan jawatan di pejabat mereka. Mereka telah mengeluh dengan sikap calon yang ditemuduga. Hal-hal yang dinyatakan jelas boleh dielakkan.

Ada perkara yang mungkin dianggap remeh oleh calon tapi sebenarnya mendatangkan kesan yang besar. Kerana hal kecil ini, anda bakal kehilangan peluang mendapat kerja. 

1. Tidak Berpakaian Kemas

Ada calon yang mengatakan mereka perlu menjadi diri sendiri semasa temuduga. Malangnya, berpakaian tidak kemas atau selekeh hanya akan merosakkan pandangan pertama penemuduga terhadap diri anda. Apa yang anda pakai melambangkan diri anda walaupun ia bukan satu kebiasaan untuk anda memakai kemeja dan bertali leher setiap hari. Pastikan anda berkasut dan bukan berselipar. Sesiapa sahaja akan tertarik dengan penampilan rapi termasuklah diri anda semasa melihat individu yang lain berpakaian kemas. Ia membuatkan orang lain berasa selesa dan anda juga lebih yakin. 

2. Tidak Menjaga Tutur Kata

Ada seorang wanita duduk bersama-sama dengan calon-calon yang bakal ditemuduga. Wanita ini berbual dengan calon-calon yang datang. Diperhatikan setiap seorang. Seorang calon mula bercerita tentang hal-hal negatif termasuklah yang melibatkan syarikat yang sedang dihadiri untuk temuduga itu. Apabila namanya dipanggil untuk sesi temuduga, dia segera masuk ke dalam sebuah bilik khas. Calon itu kemudian mendapati penemuduganya adalah wanita yang duduk bersama-sama dengannya sebagai 'calon'. Calon itu dengan segera meminta maaf dan memberikan pelbagai alasan untuk perbuatannya. Malangnya, penemuduga sudah tidak lagi berminat dengannya. 

Adab dan tutur kata bukan sahaja perlu semasa sesi temuduga, malah ia adalah nilai murni yang perlu ada dalam diri manusia di mana-mana sahaja.

3. Tidak Mengambil Tahu Tentang Syarikat Bakal Majikan

Seorang penemuduga mengadu tentang sikap calon yang langsung tidak tahu tentang syarikat bakal majikan mereka. Contohnya, jika muzium adalah tempat mereka meminta kerja, calon itu didapati langsung tidak pernah melawat ke muzium itu sedangkan jarak rumahnya tidak jauh. Sudah tentulah penemuduga merasakan yang calon tidak berminat dengan apa yang dilakukan oleh syarikat itu. Apabila kita bekerja, penting untuk kita tahu latar belakang di mana kita menumpahkan peluh. Ini menunjukkan kita mahu menjadi sebahagian daripada mereka dan bukan sekadar pergi dan balik kerja semata-mata.

4. Terlampau Yakin dan Berlagak.

Ada masanya kita terlalu terdesak untuk mendapat pekerjaan. Mungkin kita juga diselubungi kebimbangan persaingan yang nampak hebat-hebat belaka. Tanpa disedari mungkin kita terlalu berkeyakinan tinggi terhadap kemampuan diri sehingga seolah-olah kita tidak perlu lagi untuk menperbaiki diri. Seorang penemuduga memberitahu bahawa beliau lebih suka calon yang menunjukkan minat untuk belajar dan memperbaiki diri. Itu menunjukkan calon boleh menjadi lebih bagus dari semasa ke semasa kerana cintanya kepada ilmu. Boleh untuk yakin tapi bukan berlagak atau cakap besar. 

Ada juga calon yang bersikap seperti "Majikan kena dengar cakap saya jika mahu saya bekerja di sini". Oleh itu mereka seolah-olah mengugut penemuduga agar mengambil mereka bekerja sedangkan mereka tidak pernah bekerja dan masih ramai lagi calon yang lebih baik di luar sana. Maka, belajarlah untuk hormat dan berbincang dengan baik.

5. Nampak Tidak Bersedia.

Sebelum menghadiri temuduga, pastikan semua dokumen yang diminta sudah lengkap. Pastikan juga anda berada dalam keadaan siap sedia termasuk andaian soalan-soalan yang akan ditujukan kepada anda. Dalam dunia teknologi ini, maklumat dengan mudah diperolehi di hujung jari anda. Rajinkan diri membuat kajian sendiri tentanh soalan yang biasa ditanyakan bagi calon yang memohon pekerjaan seperti anda. Tunjukkan yang anda bersungguh-sungguh untuk menghadiri temuduga dan bukan datang dengan sambil lewa. 

Cuba buat yang terbaik semasa sesi temuduga. Walaupun anda mungkin tidak berjaya, namun anda sudah meninggalkan persepsi positif dalam diri penemuduga. Rancang untuk tinggalkan bilik temuduga dengan rasa puas kerana anda sudah mencuba yang terbaik.
Powered by Blogger.