Ads Top

8 Soalan Yang Boleh Diajukan Kepada Penemuduga


Semasa kita menghadiri temuduga, kita bukan sahaja datang untuk menjawab soalan-soalan dari penemuduga. Kita juga datang untuk bertanyakan soalan kepada mereka. Menurut Forbes, soalan-soalan yang diajukan kepada mereka perlulah mencapai tiga perkara berikut: 
  1. Untuk memastikan yang penemuduga tiada keraguan terhadap anda. 
  2. Untuk menunjukkan minat anda kepada majikan. 
  3. Untuk mengenalpasti jika anda benar-benar dapat merasakan majikan anda sesuai dengan anda. 
Ada banyak soalan yang boleh diajukan kepada penemuduga. Gunakanlah masa terakhir dalam sesi temuduga anda dengan sebaik-baiknya. Berikut adalah contoh 8 soalan yang boleh diajukan kepada mereka. 

Apakah kemahiran dan pengalaman yang menjadikan seseorang calon itu dianggap ideal bagi jawatan ini?

Sesuatu yang pasti adalah penemuduga sudah tahu apa yang mereka mahukan. Mereka tahu ciri-ciri calon yang sesuai dengan apa yang mereka mahu. Oleh itu, dengan bertanyakan kepada mereka soalan ini, maka dengan jelas akan membuatkan penemuduga memberikan mereka maklumat tersebut. Jika pada masa ini anda menyedari yang penemuduga telah menyebut sesuatu yang anda belum nyatakan, inilah masanya untuk anda mengambil peluang menarik hati mereka. 

Apakah masalah terbesar yang dihadapi oleh pekerja anda dan adakah saya akan berada di dalam posisi untuk menyelesaikan masalah ini?

Soalan ini bukan sahaja menunjukkan yang anda sedang memikirkan bagaimana anda boleh membantu mereka, malah membantu penemuduga untuk membayangkan diri anda semasa berada di dalam jawatan tersebut.

Apakah yang membentuk kejayaan dalam jawatan ini dan syarikat ini?

Minat dan kesungguhan adalah perkara terpenting dalam memilih pekerjaan. Begitu juga dengan majikan. Mereka juga harus memastikan yang anda berminat dengan untuk bekerja dan berjaya di dalam pekerjaan yang anda minta. Jika anda mengajukan soalan ini kepada bakal majikan, mereka dapat melihat kesungguhan anda untuk berjaya di dalam pekerjaan anda. Ia juga membantu anda dan bakal majikan untuk melihat sama ada jawatan tersebut sesuai dengan anda.

Adakah anda mempunyai keraguan dengan kelayakan saya?

Ada masanya kita merasakan yang kita sudah melakukan yang terbaik di dalam sesi temuduga dan layak dengan jawatan tersebut. Namun, mungkin ada sesuatu yang masih disembunyikan oleh majikan. Cuba ajukan soalan ini bagi mendapatkan kepastian. Majikan anda berasa yang anda yakin dengan kemahiran dan kemampuan anda sekiranya anda mengajukan soalan ini kepada mereka. Selain itu, anda juga boleh mengetahui sama ada kelayakan anda menepati keperluan mereka atau pun tidak.

Bolehkah anda beritahu saya tentang kumpulan di mana saya akan bekerja?

Soalan ini seolah-olah anda menganggap diri anda akan mendapat pekerjaan itu. Jangan merasa rendah diri untuk mengajukan soalan ini. Ia akan membantu anda mendapatkan gambaran individu-individu yang akan berinteraksi dengan anda setiap hari. Oleh itu, pastikan anda betul-betul mendengar jawapan yang diberikan.

Adakah anda menawarkan menyambung pengajian dan latihan profesional?

Sekiranya anda memilih untuk bertanya hal ini kepada bakal majikan, anda sebenarnya sedang menunjukkan minat untuk mengembangkan ilmu dan seterusnya maju bersama-sama dengan majikan.

Siapakah yang memegang jawatan ini sebelum ini?

Melalui soalan ini, anda akan mengetahui sama ada individu yang memegang jawatan itu sebelum ini telah dinaikkan pangkat, dipecat, berhenti, atau pun bersara. Dengan jawapan yang diterima anda akan mengetahui sekiranya anda ada peluang untuk naik pangkat, pekerja tidak gembira, tempat tersebut dalam keadaan kacau-bilau atau sekiranya majikan mempunyai pekerja dalam lingkungan usia anda.

Apakah langkah seterusnya dalam proses ini?

Ini menunjukkan yang anda berminat untuk mengikuti proses dan menjemput penemuduga untuk memberitahu anda jumlah yang memohon jawatan tersebut.
Powered by Blogger.