Ads Top

Pakaian Yang Perlu Dielakkan Semasa Temuduga


Selepas mendapat panggilan menghadiri temuduga, antara perkara yang muncul dalam minda kita adalah jenis pakaian yang akan dipakai. Kita akan berada dalam keadaan di mana beberapa orang yang tak dikenali cuba menilai kita dari pandangan pertama mereka. Tiba- tiba sahaja kita mula berasa resah dengan jenis pakaian yang selama ini kita pakai. 

Lebih meresahkan adalah kita tidak tahu jenis pakaian yang sesuai untuk dipakai. Anda mula meragui koleksi pakaian anda di dalam almari semuanya mungkin tidak menepati citarasa mereka. Anda mula memikirkan beberapa perkara seperti membeli pakaian baru, meminjam dari keluarga atau kawan-kawan, atau memakai pakaian sedia ada iaitu menjadi diri anda sendiri. Berikut adalah sedikit maklumat bagi menyelesaikan kegelisahan anda:

1. Salah Saiz

Sekiranya ada pakaian yang sudah lama tidak dipakai oleh anda tetapi nampak sesuai untuk temuduga akan datang, sila pastikan anda mencubanya semula. Ia mungkin tidak lagi sesuai dengan saiz anda. Elakkan apa jua pakaian yang membuatkan anda berasa tidak selesa kerana ia nampak terlalu pendek atau terlalu besar atau sebagainya. Adalah amat penting untuk anda berasa selesa sepanjang temuduga.

2. Terlampau Kasual

Anda mungkin seorang yang suka menjadi diri sendiri iaitu tidak peduli dengan apa orang kata. Anda percaya yang kasual adalah gaya semulajadi anda. Lupakan seketika hal itu jika anda mahu berjaya dalam temuduga akan datang. Walaupun pekerjaan anda nanti tidak memerlukan anda memakai secara formal, pastikan anda tetap tidak merosakkan peluang temuduga anda dengan memakai pakaian yang kelihatan terlalu kasual seperti berselipar dan baju sarat dengan corak seperti anda mahu berkelah selepas temuduga. Ini juga termasukla pemilihan tali leher yang tidak mencerminkan profesionalisme. Lebih selamat untuk anda memilih pakaian yang tidak terlampau kasual sehingga penemuduga merasakan anda tidak bersungguh-sungguh menghadapi hari penting itu.

3. Amat Mengganggu

Pakaian berwarna gelap atau natural adalah lebih selamat dan sesuai bagi menghadiri sesuatu temuduga. Pakaian yang berwarna terang, sarat dengan barang perhiasan, memakai kasut platform adalah contoh yang perlu dielakkan. Apa yang anda perlu fokus adalah temuduga anda dan bukan mengganggu tumpuan penemuduga.


4. Aksesori Berlebihan

Usah terlalu bergaya pada hari temuduga. Lupakan barang perhiasan yang berkerlipan dan bergemerincing semasa anda sedang ditemuduga. Ini boleh mematikan semangat penemuduga untuk meneruskan sesi dengan anda. Jika anda menyukai minyak wangi anda juga, pastikan yang ia tidak disembur sehingga memenuhi ruang bilik temuduga. Minyak wangi adalah citarasa peribadi individu. Menggunakannya sehingga mengganggu penemuduga hanya akan merosakkan peluang yang ada.

5. Lari Dari Kehendak Majikan

Adakalanya bakal majikan akan menyatakan jenis pakaian yang perlu dipakai semasa menghadiri temuduga bersama mereka. Sekiranya anda menerima maklumat ini, sila pastikan anda mengikut kehendak mereka. Setiap tempat mempunyai peraturan masing-masing. Jangan degil dan cuba bersifat matang. Ini juga menunjukkan anda tidak melanggar peraturan mereka pada masa depan. Sekiranya anda menerima panggilan temuduga yang tidak dinyatakan jenis pakaian yang perlu dipakai, tetaplah dengan pakai formal. Ia lebih selamat untuk nampak kemas dan rapi pada masa tersebut.

Hadirilah temuduga dalam keadaan selesa dan dengan niat menghormati mereka sebagai bakal majikan anda. Selain hal-hal di atas, pastikan kebersihan diri menjadi keutamaan. Potong kuku anda, kemaskan rambut anda, serta pakailah pakaian yang bersih dan bergosok. Anda juga perlu memastikan yang anda tidak masuk ke dalam bilik temuduga dalam keadaan badan berbau busuk atau berpeluh sehingga menjejaskan keselesaan penemuduga.


Tidaklah sukar sebenarnya untuk memikirkan apakah yang perlu dipakai semasa menghadiri temuduga. Anda hanya perlu bersikap matang selain hormat-menghormati.
Powered by Blogger.