Ads Top

Cara Menjawab 4 Soalan Asas Interview Dengan Sempurna


Ada banyak soalan yang boleh diajukan kepada calon semasa menghadiri sesi temuduga. Namun, ada empat soalan biasa yang ditanyakan kepda calon dan soalan ini ditanyakan kepada apa jua jawatan. Oleh kerana soalan ini dianggap asas dalam sesi temuduga, adalah bagus jika anda menjawabnya dengan baik. Anda juga dinasihatkan agar mengambil sedikit masa untuk melatih diri anda bagi menjawab soalan-soalan ini.


1. Kenalkan tentang diri anda.

Kerap-kali calon menggunakan soalan ini untuk menerangkan tentang kisah hidup mereka atau membaca apa yang sudah tertulis di dalam resume mereka. Ini adalah amat membuang masa kerana anda mempunyai masa yang terhad. Sayangnya anda menggunakannya untuk menerangkan apa yang bukan menjadi pokok utama dalam peluang kerjaya anda.

Untuk pengetahuan anda, apa yang penemuduga mahu hanyalah “mengapa anda berminat dengan jawatan ini?” dan “mengapakah anda rasa anda layak untuk memegang jawatan ini?”

Oleh itu, apa yang anda perlu ingat mulai sekarang adalah tentang peluang anda menerangkan kepada mereka bagaimana kelebihan dan keupayaan anda boleh menyumbang kepada jawatan yang dipohon. Maka, fokus anda mesti mengenai pengalaman dan pencapaian anda. 


2. Apakah kelemahan anda?

Soalan ini bukanlah soalan menguji minda. Ia sebenarnya lebih bersifat terus-terang. Tetapi calon lebih suka menggunakan soalan ini dengan memberi jawapan seperti mereka seorang yang amat sempurna. 

Apa yang calon terlepas pandang adalah bagaimana bakal majikan sebenarnya mahukan seseorang yang mempunyai kemahiran tetapi pada masa yang sama menyedari akan kekurangan atau kelemahan diri mereka serta mahu memperbaikinya.

Oleh itu, jika anda mempunyai pengalaman di mana anda mengatasi kelemahan anda dengan memperbaikinya, maka anda boleh berkongsi hal itu kepada bakal majikan anda. Anda juga boleh menerangkan kepada mereka jika usaha anda menunjukkan perkembangan positif.

3. Apakah pengalaman kegagalan anda dan bagaimana anda mengatasinya?

Soalan ini lebih kurang sama dengan soalan di atas. Bezanya ia merujuk kepada kesilapan berbanding kelemahan diri. 

Namun, anda tidak perlu bercerita tentang bagaimana anda memperoleh gred rendah dalam peperiksaan anda.

Semasa bekerja, anda akan berdepan dengan masalah komunikasi, kerja berkumpulan, hubungan majikan dan pekerja dan sebagainya. Oleh itu, fokus kepada kesilapan yang pernah berlaku pada masa itu. Jika anda tidak pernah bekerja, maka saya pasti anda pernah membuat kerja yang diberi oleh pensyarah secara berkumpulan. Anda juga mungkin pernah mengalami masalah komunikasi dengan mereka atau pensyarah anda. Anda juga mungkin pernah terlibat dalam kerja persatuan dan mengalami kegagalan yang berpunca dari kesilapan anda. 

Gunakan pengalaman ini tetapi pastikan ia bukanlah sekadar kesilapan. Ia adalah kesilapan yang mengajar anda sesuatu dan anda telah mengambil iktibar daripadanya. Anda juga boleh memberitahu bakal majikan langkah yang diambil bagi memperbaiki masalah itu.


4. Di mana anda melihat diri anda 5 tahun lagi?

Ini adalah soalan yang menyentuh perancangan masa depan anda.

Bakal majikan memberikan anda soalan ini untuk mengetahui berapa lama anda akan berada di dalam syarikat mereka dan sekiranya anda berbaloi untuk pelaburan mereka. Boleh jadi anda akan mempunyai cita-cita mempunyai syarikat sendiri atau berniat untuk menyambung pengajian anda.

Secara halusnya, bakal majikan mahu mengetahui sekiranya anda boleh memberi kesan kepada syarikat mereka.

Oleh itu, jawapan anda sepatutnya memberikan mereka gambaran bagaimana jawatan dan latihan yang anda terima boleh membangunkan diri anda dan kesannya kepada syarikat selepas 5 tahun. 

Adalah bagus jika anda membayangkan diri anda memegang jawatan tertentu yang lebih baik di syarikat tersebut pada masa akan datang. Anda mungkin memegang projek-projek tertentu yang penting atau menjadi salah seorang yang membuat keputusan bagi syarikat anda. Selain itu, anda juga boleh menambah pengetahuan anda di dalam bidang di mana bakal majikan anda berada.
Powered by Blogger.