Ads Top

Tip Menulis Resume Yang Padat Dan Menarik


Resume adalah suatu bentuk kenyataan yang disediakan oleh seseorang berkaitan latar belakang pendidikan, pencapaian dan pengalaman kerja yang bertujuan untuk memperkenalkan diri kepada bakal majikan supaya diberikan peluang untuk menghadiri sesi temuduga jawatan tertentu. 

Ramai juga yang salah faham bahawa resume digunakan untuk mendapatkan kerja secara terus. Tetapi sebenarnya, resume hanyalah langkah pertama dalam mendapatkan kerja. Jika resume anda diterima, anda akan dipanggiluntuk sesi temuduga. Sekiranya anda berjaya dalan sesi temuduga, barulah anda akan diterima kerja dengan majikan tersebut.

Bagaimana cara menghasilkan resume yang terbaik? Resume terbaik adalah resume yang diterima oleh bakal majikan dan berjaya dipanggil untuk sesi temuduga. Ikuti tips-tips ini untuk menghasilkan resume yang terbaik.

Ringkas dan padat

Resume terbaik adalah resume yang ringkas dan tidak berjela-jela panjangnya. Ini adalah kerana pihak syarikat yang membuat saringan resume tidak mempunyai masa yang banyak untuk membaca keseluruhan resume yang terlalu panjang. Ini juga boleh dianggap sebagai ‘Information Overload’. Sebaiknya, tuliskan maklumat diri anda pada resume dalam bentuk senarai bukannya dalam bentuk karangan.

Resume yang ringkas dan padat akan memudahkan saringan dijalankan dan majikan anda akan terus dapat melihat kelayakan dan pengalaman anda dalam bidang yang anda mohon.

Padat tidak bermaksud anda perlu letakkan semua tentang diri anda di dalam resume. Anda hanya perlu letakkan perkara terbaik tentang diri anda dan selebihnya anda boleh ceritakan semasa sesi temuduga.


Tulisan Rasmi

Resume terbaik juga perlulah bersifat rasmi. Ini bermakna resume anda ditulis dengan jenis tulisan rasmi seperti Time New Roman, Arial ataupun Calibri. Jangan sesekali menulis resume dengan menggunakan jenis tulisan yang terlalu berseni seperti Caligraphy mahupun Comic Sans. Selain dari segi jenis tulisan, penggunaan warna pada resume juga memainkan peranan. Sebaik-baiknya, jangan gunakan lebih daripada kombinasi 2 warna untuk resume anda.


Gambar

Pastikan juga resume anda dilengkap dengan gambar terbaik anda. Ini adalah penting untuk memberikan pandangan pertama yang baik kepada diri anda. Sebagai contoh, jika anda membuat resume untuk jawatan profesional seperti jurutera, akauntan dan lain-lain, pastikan gambar anda juga bersifat professional lengkap dengan kot dan juga tali leher. Jangan sesekali memberikan gambar yang bersifat santai dengan pakaian kemeja-T pada resume anda.

Kemas dan tersusun

Bagaimana anda mengolah dan menyusun cerita dalam resume juga memainkan peranan. Walaupun resume dituliskan dalam bentuk point, bagaimana kronologi peristiwa dan pengalaman ditulis juga adalah sangat penting.

Kronologi yang betul membolehkan majikan mudah untuk mengenali diri anda dan juga mungkin berminta untuk lebih mengenali anda melalui sesi temuduga.

Jujur

Menjadi tanggungjawap anda untuk menuliskan fakta yang benar pada resume anda. Menjadi satu kesalahan moral dan undang-undang sekiranya maklumat yang diberikan dalam resume adalah tidak benar.

Memberikan maklumat palsu juga akan lebih mudah memerangkap diri anda semasa sesi temuduga sekiranya anda berjaya menghadiri temuduga. Ini adalah kerana setiap penemuduga mempunyai cara tersendiri untuk mengenalpasti ketulenan maklumat yang anda berikan di dalam resume anda. Oleh itu, pastikan setiap butiran yang anda berikan di dalam resume adalah benar dan tepat.

Kesimpulannya, resume yang padat, tepat dan ringkas adalah lebih di sukai oleh bakal majikan berbanding resume yang panjang. Apabila resume anda baik dan berkualiti, kebarangkalian anda akan dipanggil untuk sesi temuduga akan lebih cerah. 
Powered by Blogger.